Program Internet Selamat anjuran bersama NADI Paku Penom dan SK Penom telah berlangsung dengan jayanya bersama murid-murid. Program ini bertujuan membentuk kefahaman asas tentang penggunaan Internet secara selamat, beretika dan bertanggungjawab. Murid diperkenalkan kepada tiga peraturan emas iaitu: menjaga kerahsiaan diri, berkomunikasi dengan sopan, serta mengenal dan melaporkan kandungan tidak selamat. Melalui pendekatan interaktif seperti “Internet Seperti TV”, padanan Hak & Tanggungjawab, dan permainan “Musang, Ibu Ayam & Anak-Anaknya”, murid didedahkan kepada dunia digital melalui aktiviti yang menyeronokkan dan mudah difahami. Mereka turut mempelajari tindakan yang wajar diambil apabila berhadapan dengan risiko dalam talian seperti iklan palsu, buli siber dan penipuan. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Guru Besar, pihak pentadbiran, guru-guru dan semua murid SK Penom atas kerjasama yang sangat baik sepanjang program ini berlangsung. Semoga ilmu yang dikongsi menjadi asas kepada generasi celik digital yang lebih selamat, berhemah dan berdaya tahan dalam dunia siber.





